Terlihat beriman semata-mata bukan menjadi penanda aras buat pelakon dan model Natasha Hudson dalam menetapkan kriteria calon suami selepas empat kali dia bergelar janda.

Bagi Natasha, dia enggan berharap hanya pada satu-satu perkara dan pada masa sama membiarkan hal yang lain begitu saja sehingga hidupnya menjadi tidak seimbang.

Kata pelakon berusia 38 tahun itu, seboleh-bolehnya dia menginginkan seorang yang boleh menerima kisah lalu yang pernah menghimpit dirinya.

“Bukan apa, kita tak boleh berharap pada sesiapa untuk jadi terlalu sempurna dalam hidup kita. Kerana pada sesi perkenalan dia memang tak tunjuk kelemahan yang ada.
“Tapi apabila dah berkahwin, semuanya keluar satu per satu. Jika dia tidak dapat menjadi seorang Muslim yang lengkap tapi sudah sedaya upaya mencuba, itu sudah cukup bagus,” katanya ketika diajukan soalan berhubung kriteria calon suami pilihan.

Apa lebih penting, kata Natasha lelaki terbabit boleh menerima keluarganya.
“Ramai orang akan kata ya (sanggup), tapi kemudian… jika nak terima biar dia dan keluarganya, bukan dia saja. Saya jenis suka bersilaturrahim,” katanya.

Natasha pernah berkahwin dengan Mohd Faiz Mohd Raih pada 2006 namun perkahwinan tersebut hanya bertahan selama empat bulan.

Dia kemudian mendirikan rumah tangga dengan Shahrin Zahari pada 2007 dan hasil perkongsian hidup selama dua tahun itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Neesa Helena.

Sudah lalui semua

Selepas itu, Natasha berkahwin dengan penyanyi Carleed Khaza atau Khalid Kamal pada 2012 sebelum bercerai pada Oktober 2018. Hasil perkahwinan ketiga itu dia dikurniakan dua anak, Naeema Kalila dan Faatimah.
Natasha berkahwin lagi buat kali keempat dengan ahli perniagaan, Noor Nashriq Sekarnor.

Natasha mengakui buat masa ini dia tidaklah terburu-buru untuk menamatkan zaman janda selepas mengumumkan perkahwinan yang dibina bersama Noor Nashriq berakhir tahun lalu.

“Saya belum bersedia. Lagipun saya gembira dengan kehidupan yang dilalui sekarang. Perkara yang lalu tu, proses nak pulih pun belum selesai lagi.
Kata pelakon Chermin itu, proses “pemulihan” hatinya belum selesai.

Pun begitu, Natasha mendakwa hal tersebut tidak menghalang dia didatangi beberapa individu yang bertanyakan macam-macam hal termasuk lamaran untuk menjadi isteri kedua.

“Ibarat baru pijak tanah, tapi sejujurnya memang ada perasaan serik. Sebab tu saya belum bersedia untuk lalui fasa serius seperti alam perkahwinan sekali lagi,” katanya.

“Semua saya dah lalui. Ada lelaki dan ada juga wanita yang melamar untuk dijadikan madu. Memang saya tak kenal mereka yang beri mesej melalui media sosial ni semua.

“Ada juga peminat fanatik yang hantar bermacam-macam benda sampaikan saya terpaksa menutup Instagram buat sementara waktu sebab takut apa akan dibuatnya pada gambar kami anak beranak,” katanya. Sumber

Please follow and like us:
Wordpress Social Share Plugin powered by Ultimatelysocial