Pelaburan Forex atau tukaran mata wang asing sah haram.Bagaimana dianya menjadi haram?

Pensyarah Kanan Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Ahmad Sufian Che Abdullah menjelaskan berkaitan isu ini pada Wacana al-Quran siri ke-86 bertajuk Forex: Fatwa Siapa Diambil yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Media Karangkraf pada Isnin 15 Februari 2021

Beliau berkata,pelaburan tukaran mata wang asing atau forex disahkan haram kerana ia melibatkan harta ribawi iaitu mata wang dan mengandungi unsur-unsur riba.

Proses tukaran mata wang asing dalam bahasa Arab disebut bay al-sarf dan Nabi Muhammad SAW ada memberi panduan berkaitan kaedah untuk menukar duit ini agar ia tidak menjadi haram.

Antara panduan itu ialah jika hendak menukar mata wang berbeza, serahan mesti berlaku segera, jika tidak (ada penangguhan) dia akan pergi kepada hukum riba.

Jika melihat dari konteks taqwa,seseorang itu perlu tahu hukum dan berusaha elak riba kerana riba dengan tukaran mata wang asing sangat dekat. Kenapa sangat dekat? Jika berlaku kelewatan tukaran mata wang asing maka akan berlaku riba yang merupakan dosa besar

Malah katanya, melihat kepada kitab fiqh, para ulama meletakkan tukaran mata wang asing ini hampir kepada tajuk riba.

Imam Malik juga dikatakan sangat tidak suka perkara tersebut dan kalau boleh nak haramkan orang tukar duit kecuali dia bertakwa.

Tambah Ahmad Sufian, riba juga adalah kunci kepada segala masalah ekonomi dan atas sebab itu Islam mengisytihar perang ke atas riba.

Menurutnya, dalam konteks perundangan, menurut para tabiin, ia memberi satu kuasa kepada kerajaan untuk menghukum sehingga mati bagi yang melakukan riba secara tegar.

ALLAH akan tanya dan isytihar perang di akhirat bagi golongan yang tetap melibatkan dalam urusan forex ini setelah diberi nasihat sehinggakan cuba mencari fatwa yang mengatakan forex tidak haram.

“Berhati-hatilah dengan dosa besar ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Sufian berkata, pendidikan fiqh muamalat juga dilihat sangat penting untuk diterapkan lebih awal di kalangan umat Islam iaitu seawal peringkat sekolah rendah.

“Ini kerana dapatan kajian yang dibuat ke atas mereka yang terlibat skim cepat kaya telah merumuskan orang Melayu terlibat riba kerana fiqh muamalat mereka lemah.

“Jadi pendidikan muamalat ini amat penting supaya mereka itu ada ilmu dan lebih berhati-hati. Jadi kalau ada orang ajak mereka buat forex sekalipun, mereka boleh buat semakan terlebih dahulu,” katanya.

Program itu turut melibatkan, Pengasas Tadbir Insan Training & Consultancy, Mustafar Mohd Suki, sebagai Panelis,sementara Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail selaku moderator dan Qari, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali yang memperdengarkan bacaan surah al-Baqarah ayat 278.

Sumber Sinar Harian

Please follow and like us:
Wordpress Social Share Plugin powered by Ultimatelysocial