Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kajang pada Jumaat atas tuduhan membunuh Pengurus Jabatan Advokasi, Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Nik Khatijah Nik Mud, 32.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Hasbullah Ismail, 56 yang juga rakan sekerja kepada mangsa selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syahrul Sazli Md Sain berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Nik Khatijah di sebuah rumah di Taman Bangi, Jalan Reko, di sini, antara jam 11 malam pada 5 Mac lalu hingga jam 3 pagi pada 6 Mac lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairul Iqram Hairuddin manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Halem Mohamad Husin.

Turut hadir pada prosiding itu adalah beberapa peguam pemerhati dari Ikram.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 April ini untuk sebutan semula sementara menunggu laporan berkaitan kes.

SP Online sebelum ini melaporkan Pengurus Jabatan Advokasi mati dengan kesan jerut dileher  pada 8 mac 2021 di sebuah rumah di Taman Bangi, Jalan Reko.

BACA ARTIKEL TERKAIT KES BUNUH NIK KHATIJAH SEBELUM INI

  1. Suspek Bunuh Nik Khatijah Ditahan Reman

  2. Pengurus Jabatan Advokasi Mati Dijerut

Sebelum itu,pihak polis telah menerima panggilan MERS 999 pada jam 9 pagi daripada seorang lelaki yang memaklumkan menjumpai mayat dipercayai seorang wanita warga tempatan berusia dalam lingkungan 30-an.Hasil pemeriksaan awal pada mayat mendapati terdapat kesan jerut pada bahagian leher dan dipercayai meninggal dunia lebih daripada 24 jam sebelum ditemukan.

Selang beberapa jam kemudian, polis menahan seorang lelaki berusia 57 tahun di sekitar Kajang sekitar jam 8.45 malam bagi membantu siasatan yang juga difahamkan rakan sekerja mangsa.-SP Online

Please follow and like us:
Wordpress Social Share Plugin powered by Ultimatelysocial