Jertih: Seorang wanita berstatus isteri orang ditahan bersama kekasihnya berusia 30 tahun di rumah milik keluarga wanita itu di Kuala Besut, dalam Operasi Cegah Dadah, hari ini.

Selain mereka, lima lelaki berusia antara 20 hingga 43 tahun turut ditahan dalam operasi itu di beberapa kampung berlainan antaranya Hulu Besut, Apal, Lapan Kotak dan Limbongan.

Ketua Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Besut, Noor Hafizza Mat Zin berkata, operasi di sekitar daerah Besut bermula 1 pagi itu disertai 11 anggota dan pegawai AADK.

“Wanita berusia 24 tahun itu mempunyai tiga anak termasuk yang bongsu berusia 10 bulan.

“Hasil siasatan awal mendapati dia dalam proses bercerai dengan suami dan mula terbabit dengan aktiviti penagihan dadah sejak empat tahun lalu setelah terpengaruh dengan suami.

“Saringan ujian air kencing ke atas ketujuh-tujuh suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan sekitar boleh berhubung terus dengan pihaknya.

—HariaN Metro

Please follow and like us:
Wordpress Social Share Plugin powered by Ultimatelysocial