Subang Jaya: Akibat dendam sering dibuli ketika bekerja, seorang lelaki membunuh rakan sekerjanya di sebuah rumah di Jalan Kemajuan, di sini, kelmarin.

Lelaki terbabit dipercayai menjerut mangsa yang berusia 20 tahun menggunakan wayar elektrik sebelum menikam serta menggelar leher rakannya itu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah malam di kediaman yang disewa mereka.

Katanya, suspek berusia 21 tahun dan mangsa adalah rakan serumah dan ketika kejadian, dia membawa dua lagi rakannya ke rumah itu dengan alasan mahu menyamun mangsa.

“Dua lelaki masing-masing berusia 20 tahun itu bersetuju tanpa mengetahui niat sebenar suspek adalah untuk membunuh mangsa dan bukan untuk menyamun.

“Pada jam 12.30 tengah malam, mangsa pulang ke rumah sebelum diserang kumpulan lelaki terbabit… mangsa dijerut, ditikam dan dikelar (di leher) oleh suspek utama,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Abd Khalid berkata, suspek kemudian memasukkan mayat mangsa ke dalam beg dan dibungkus dengan plastik sampah sebelum dibuang ke tong sampah.

“Ketiga-tiga individu berkenaan kemudian membawa tong sampah yang mengandungi mayat mangsa turun (dari apartmen) sebelum dibuang di tepi jalan di Persiaran Kewajipan.

“Tindakan suspek dan rakannya itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) apartmen berkenaan ketika pemeriksaan dilakukan ibu saudaranya kerana gagal menghubungi mangsa,” katanya.

Beliau berkata, susulan itu sepasukan polis yang menjalankan siasatan semalam menemui karpet dan dompet milik mangsa di bawah jejantas berdekatan lokasi kejadian.

“Kira-kira 1.5 kilometer dari rumah sewa mereka pasukan polis menemui tong sampah berwarna hitam mengandungi mayat mangsa.

“Berdasarkan rakaman CCTV itu polis kemudian menahan tiga lelaki dalam serbuan berbeza di Kampung Sri Rusa, Port Dickson dan Flat Keramat Jaya Sri Perlis,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal terhadap suspek utama mendapati kejadian berlaku akibat dendam lama.

“Suspek pernah bekerja bersama mangsa selama enam hari dan mendakwa sering dibuli menyebabkan dia menyimpan dendam terhadap mangsa.

“Ujian saringan air kencing terhadap semua suspek mendapati semua mereka negatif dadah,” katanya.

Katanya, semua individu yang ditahan di reman selama enam hari bermula hari ini sehingga 26 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

—Harian Metro

Please follow and like us:
Wordpress Social Share Plugin powered by Ultimatelysocial