Gambar sekadar hiasan

PARIT BUNTAR: Seorang pengawal peribadi ditahan akibat terlepas tembakan ke arah seorang penjaga kambing hingga mengakibatkan kecederaan di bahagian perut dalam satu kejadian di tepi sungai Jalan Swee Lee, Kuala Kurau di sini pada Isnin.

Kejadian sekitar jam 6.30 petang itu berlaku ketika lelaki berusia 33 tahun terbabit sedang minum bersama mangsa berusia 23 tahun dan dua lagi rakan mereka masing-masing bekerja sebagai pemilik syarikat lori berusia 37 tahun dan penjaga stor berusia 48 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, pengawal peribadi yang bekerja di sebuah syarikat keselamatan di Kuala Lumpur itu bertemu dengan tiga sahabatnya untuk upacara sembahyang kematian seorang rakan mereka.

Bagaimanapun menurutnya, dalam pertemuan itu, lelaki terbabit bertindak mengeluarkan pistol miliknya jenis CZ 75 dengan niat hendak menunjuk-nunjuk kepada mereka.

“Awalnya lelaki itu telah mengeluarkan kelopak pistol terbabit tanpa menyedari masih terdapat sebutir peluru di dalam chamber.

“Dia kemudiannya menarik picu pistol menyebabkannya meletup dan terkena mangsa yang berdiri di hadapannya pada jarak lebih kurang satu meter.

“Mangsa yang berdarah akibat luka di bahagian kiri perut telah menerima rawatan awal di Hospital Parit Buntar dan dilaporkan stabil,” katanya.

Beliau berkata, polis mendapat maklumat kejadian itu selepas dimaklumkan bahawa terdapat seorang lelaki menerima rawatan di Unit Kecemasan hospital terbabit akibat terkena tembakan.

Menurutnya, bagi menyembunyikan kes terbabit, pengawal peribadi itu telah melepaskan satu tembakan ke dalam beg sandang miliknya dengan niat hendak mereka cerita kononnya pistol tersebut meletup dengan sendirinya dalam beg.

“Polis telah merampas senjata iaitu sepucuk pistol bersama kelopak berisi lapan peluru jenis 9mm, sarung pistol dan sebutir kelonsong tertera tulisan 9mm daripada lelaki terbabit.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Artikal asal disiarkan di – portal┬áSinar Harian

Please follow and like us:
Wordpress Social Share Plugin powered by Ultimatelysocial