Sayap ketenteraan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) – Briged Izzuddin Al-Qassam (Al-Qassam) – hari ini mengeluarkan amaran keras kepada rejim Israel berhubung ketegangan yang berlaku di Baitulmaqdis sejak beberapa hari lalu.

Jurucakap Al-Qassam, Abu Ubaidah berkata askar rejim Israel (IDF) diberi tempoh sehingga jam 6 petang esok supaya keluar dari Masjid Al-Aqsa dan perkampungan Sheikh Jarrah.

Pada masa sama, Briged Al-Qassam juga memberi amaran kepada rejim Tel Aviv itu supaya membebaskan semua individu yang ditahan sejak beberapa hari lalu ketikaIDF menyerbu Masjid Al-Aqsa dan penempatan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur.

“Menjelang jam 6 petang esok waktu tempatan, Israel mesti menarik keluar tentera, polis dan pendatang Yahudi dari perkarangan Masjid Al-Aqsa serta kawasan Sheikh Jarrah.

“Kami juga menuntut supaya semua individu yang ditahan ketika serbuan IDF di Masjid Al-Aqsa dan kejiranan Sheikh Jarrah dibebaskan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Awal pagi tadi waktu Malaysia, Al-Qassam membedil tiga roket ke penempatan haram diduduki warga Israel di Askalan, dengan satu daripadanya dipintas sistem pertahanan udara rejim Zionis – Iron Dome.

Bagaimanapun, sejurus serangan roket ke arah penempatan haram Yahudi itu, rejim Zionis Israel mengerahkan pesawat tempurnya mengebom tengah Semenanjung Gaza yang menyasarkan pos pemerhatian Hamas.

Serentak amaran itu, tentera Israel membatalkan siri latihan besar-besaran dan menutup beberapa jalan di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Arahan dikeluarkan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan Benny Gantz juga menggantung perkhidmatan komuter di beberapa penempatan petang tadi, selain menutup zon menangkap ikan di Semenanjung Gaza.

Media antarabangsa juga melaporkan, 10 kebakaran berlaku selepas kumpulan pejuang dan penduduk Palestin di Semenanjung Gaza melepaskan belon api yang ditiup angin ke arah beberapa kawasan di Israel.

—AgendaDaily

Please follow and like us:
Wordpress Social Share Plugin powered by Ultimatelysocial