KOTA KINABALU: Gara-gara tidak dapat balik beraya bersama keluarga di Perak, seorang lelaki mencuri tumpuan pengguna jalan raya di Kota Kinabalu, Sabah.

Lelaki itu yang lebih dikenali sebagai Man Hasry mengenakan kostum adiwira ‘Spider-Man’ dengan nota khas berbunyi ‘mak dan abah, maaf tidak dapat balik raya. Tidak lepas rentas negeri’.

Menurut Man, nota itu ditujukan khas buat kedua orang tuanya yang kini berada di Manjung, Perak.

“Saya mendapat idea ini beberapa hari lepas. Saya beritahu isteri saya yang saya ingin sampaikan mesej buat keluarga di Semenanjung.

“Lagipun keluarga tak sihat. Jadi, saya fikirkan (satu cara) untuk menyampaikan mesej buat keluarga agar mereka gembira,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tambah Man, dia dan isteri sudah menetap di Sabah lebih 10 tahun.

Dia berharap, gelagat serta kostum yang dikenakan itu akan dapat menyampaikan mesej yang menggembirakan keluarganya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini.

“Buat keluarga saya yang berada di Semenanjung, yang berada di Seri Manjung, Perak. Ibu saya, Hasnah Ali dan bapa saya Osman Saidi, saya minta maaf kerana tidak dapat pulang beraya tahun ini kerana tidak dapat merentas negeri.

“Kita ikut sahaja arahan kerajaan. Tidak mengapa, tahun ini, kita beraya dengan cara panggilan video sahaja. Untuk kali kedua. Tiada masalah. Cuma tidak dapat berkongsi makanan dalam kamera sahaja,” luahnya.

Sementara itu, orang ramai yang terserempak dengannya di sekitar Kota Kinabalu memberi respons yang positif terhadapnya, malah ada yang turut meminta untuk bergambar bersamanya.

Man pada masa sama turut menyeru orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan agar penularan COVID-19 dapat dibendung dan keadaan kembali seperti sedia kala.

—HarianMetro

Please follow and like us:
Wordpress Social Share Plugin powered by Ultimatelysocial