Cheras: Seorang anggota polis cedera tertembak diri sendiri selepas terbabit kemalangan ketika mengejar penjenayah dalam kejadian di Taman Len Seng di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 malam itu turut menyebabkan seorang penjenayah maut selepas terjun dari tebing setinggi enam meter.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila seorang lelaki bersama kekasihnya dikesan dalam keadaan mencurigakan di dalam kereta Perodua Myvi di Cheras Sentral.

Katanya, beberapa anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras kemudian menghampiri kereta terbabit untuk pemeriksaan.

“Ketika cuba memeriksa, suspek terbabit mengundur kenderaannya serta melanggar sebanyak tiga kali kereta polis sebelum meloloskan diri.

“Suspek kemudian dikejar sehingga ke Taman Len Seng sebelum berlaku kemalangan antara kereta dipandunya dan polis.

“Impak pelanggaran itu menyebabkan seorang anggota berpangkat koperal berusia 30 tahun cedera tertembak lengan kanannya,” katanya pada sidang media di Hospital Cancelor Tunku Muhriz (HCTM), hari ini.

Menurutnya, suspek keluar dari kenderaan dan melarikan diri sebelum terjun di tebing setinggi kira-kira enam meter.

“Lelaki warga tempatan berusia 30 tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh kakitangan perubatan.

“Semakan mendapati suspek memiliki 25 rekod lampau termasuk tujuh membabitkan jenayah kekerasan seperti cubaan bunuh dan samun bersenjata, 10 kes pecah rumah dan lapan kes dadah,” katanya.

Menurut Mohamed Mokhsein, susulan itu pihaknya menahan seorang wanita iaitu dipercayai teman wanita suspek.

“Soal siasat kemudian membawa tangkapan tiga lagi lelaki termasuk seorang warga Myanmar pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di sekitar kawasan terbabit.

“Pemeriksaan di dalam kereta suspek menemui pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah,” katanya.

Katanya, semakan juga mendapati, kereta diguna suspek adalah kenderaan yang dilapor hilang di Kajang.

“Polis percaya, operasi ini berjaya menyelesaikan 15 kes pecah rumah dan kedai di kawasan Cheras dan Kajang. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

—Harian Metro

Please follow and like us:
Wordpress Social Share Plugin powered by Ultimatelysocial