Kuala Lumpur: Seorang pemandu van maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang memasuki laluan bertentangan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd Sabri Abdullah berkata, kejadian membabitkan tiga kenderaan itu berlaku jam 9.35 pagi tadi di Jalan Persiaran Bandar Baru Bangi dari arah Kajang Utama menghala ke arah Sungai Ramal.

Katanya, pemandu pacuan empat roda itu dari Kajang Utama menghala ke Sungai Ramal.

“Setibanya di Jalan Persiaran Bandar Baru Bangi, pemandu gagal mengawal kenderaan lalu memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah van.

“Manakala, sebuah kereta yang datang dari arah belakang van tidak sempat berhenti lalu melanggar kenderaan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Sabri berkata, akibat daripada impak perlanggaran yang kuat, pemandu van mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, pemandu pacuan empat roda juga mengalami kecederaan parah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Serdang untuk rawatan lanjut manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati kemalangan itu berpunca dari pemandu pacuan empat roda yang gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas memasuki laluan bertentangan dan melanggar van sehingga menyebabkan kematian.

ANTARA ARTIKEL TERBARU :-

“Ketiga-tiga kenderaan akan dihantar untuk pemeriksaan Puspakom bagi mengesahkan kerosakan akibat kemalangan tersebut. Sampel darah dan air kencing pemandu pacuan empat roda akan dihantar untuk pemeriksaan toksikologi untuk mengesahkan kandungan alkohol dan dadah.

“Bedah siasat sudah dipohon ke atas mayat pemandu van itu bagi mengesahkan punca kematian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kes masih dalam siasatan polis,” katanya.

—Harian Metro

Please follow and like us:
Wordpress Social Share Plugin powered by Ultimatelysocial