Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyarankan pemberian vaksin kepada semua penjawat awam dipercepatkan supaya dapat kembali bekerja sepenuhnya.

Presidennya, Adnan Mat berkata justeru itu CUEPACS mencadangkan semua penjawat awam Gred 54 ke bawah menyumbang sekurang-kurangnya sebanyak RM10 setiap seorang kepada tabung Covid-19 yang boleh digunakan untuk mengekang penularan Covid-19.

Katanya, cadangan sumbangan dikecualikan kepada petugas kesihatan, petugas keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan yang terbabit secara aktif di barisan hadapan mengekang penularan Covid-19 sebagai salah satu penghargaan kepada mereka.

“Esok 1 Jun 2021 akan berlangsungnya ‘lockdown’ secara penuh di seluruh negara dan pelaksanaan ini juga dilakukan bagi memastikan sistem perkhidmatan kesihatan awam yang ditunjangi petugas barisan hadapan di Kementerian Kesihatan tidak lumpuh sekali gus membolehkan rakyat tetap mendapatkan perkhidmatan kesihatan seperti biasa.

“Pelaksanaan PKP secara penuh itu juga menyaksikan hampir semua penjawat awam (kecuali petugas barisan hadapan, anggota keselamatan dan pertahanan/penguatkuasaan) terpaksa diarahkan untuk bekerja dari rumah (BDR).

“Kehadiran ke pejabat pula hanya boleh dibenarkan tidak melebihi 20 peratus untuk proses kerja yang tidak boleh dilaksanakan secara BDR.

“Kita sedia maklum bahawa pandemik ini telah mengakibatkan pelbagai golongan terkesan termasuklah pasangan penjawat awam yang bekerja di sektor swasta dan berniaga secara kecil-kecilan.

“Kerajaan juga telah mengeluarkan belanja yang sangat besar bagi mengurangkan lagi kesan ekonomi terbabit kepada rakyat.

“Justeru, sebagai mendengar denyut nadi rakyat, CUEPACS mencadangkan mereka yang Gred 54 ke bawah untuk menyumbang RM10,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sumbangan RM10 itu boleh dibuat melalui potongan gaji oleh kerajaan sekiranya dipersetujui kelak.

Beliau berkata, sekiranya ada dalam kalangan penjawat awam ingin memberi sumbangan yang lebih, ia adalah keputusan masing-masing dan boleh dilaksanakan melalui prosedur yang diputuskan kerajaan.

CUEPACS juga menghargai pengorbanan penjawat awam di peringkat JUSA dan TURUS kerana sudah bersetuju memotong elaun keraian sejak pelaksanaan PKP tahun lalu lagi.

“Pemberian vaksin kepada semua penjawat awam membolehkan kami semua meneruskan peranan menjayakan agenda pemulihan ekonomi rakyat dan negara.

“Melalui pemberian vaksin ini, sudah tentu tiada masalah untuk penjawat awam melaksanakan tugas mereka seperti biasa di lapangan masing-masing dan tidak perlu lagi BDR.

“Ia juga mengurangkan risiko jangkitan kepada penjawat awam dan masyarakat kerana kebanyakan tugas penjawat awam adalah memberi perkhidmatan secara langsung kepada rakyat secara bersemuka,” katanya.

BACA JUGA ANTARA ARTIKEL TERKINI

Selain itu, CUEPACS juga berharap semua aset daripada agensi lain dapat digerakkan dalam operasi mengekang penularan Covid-19.

Aset seperti kenderaan jabatan, meja, kerusi dan khemah boleh disalurkan kepada pusat kuarantin, pusat pemberian vaksin, bilik gerakan Covid-19 daerah, klinik kesihatan dan Covid Assesment Centre (CAC) agar gerak kerja di fasiliti terbabit diperkemaskan lagi.

Perkara ini perlu diputuskan segera bagi memastikan setiap usaha mengekang penularan Covid-19 dapat dijayakan.

—Harian Metro

Please follow and like us:
Wordpress Social Share Plugin powered by Ultimatelysocial